Thursday, June 18, 2015

ISTILAH DAN SYARAH

Dalam menyalurkan gagasan membina sebuah media alternatif (kononnya) suka saya nukilkan disini beberapa kaedah untuk saya dan para pemerhati menyegarkan kembali ingatan akan memori-memori yang pernah ditempuhi.

Saya adalah seorang yang nostalgik kadangkala. Ini kerana dari sikap nostalgik itu dapat menimbulkan syahdu romantistik yang tersendiri seumpama berada ditepi pantai disapu angin bayu, atau terkenang mee goreng yang begitu enak rasanya lantaran terlalu lapar di asrama walhal mee goreng tersebut hanya beradunkan kicap dan sayur cuma. Tetapi, nostalgia tetap nostalgia, ia berdiri dan muncul di minda sesuka rasa, tetapi kadangkala ianya memang sesuatu yang manis untuk dihadam.

Baik, kembali kepada aktiviti dan operasi semasa bergiat di dalam subbudaya underground dahulu. Ketika zaman telefon bimbit dan jaringan maya masih belum berleluasa dan bermaharajalela, komunikasi melalui surat, sampul surat dan parsel bungkusan pos nyata memain peranan penting.

Dalam urusan menyampaikan berita dan makluman terbaru, para peminat dan pengemar tegar akan berhubung sesama mereka melalui rangkaian jaringan surat-menyurat. Di dalam surat menyurat inilah wujud apa yang dipanggil fanzine, newsletter dan flyers. Eih...saya pernah cerita kah tentang hal ini dalam entri yang lepas-lepas...namun, abaikan...saya-kan memang suka bergelumang dalam nostalgia...hahahhaa!

FANZINE- adalah sebuah medium berbentuk majalah/makalah kecil yang dihasilkan melalui 'cut and paste' (kerat dan tampal) yang menjadi master-copy (salinan asli) lalu dibukukan melalui salinan fotostat, kemudian diedarkan di kalangan lingkaran setiakawan, yang kebiasaannya di jual pada harga RM2.00 (nilai harga sekitar tahun 1996-2000).

Kandungannya berisi-intikan pendapat penulis, pandangan para pembaca, sedutan maklumat dan pengetahuan tentang satu-satu idea yang berunsur perubahan, perbincangan dan temuramah dengan personaliti kugiran atau  pengarang fanzine DIY (buat sendiri)  yang lain. Selain itu, terdapat ulasan (review) produk DIY/underground yang lain, laporan lokasi (Scene Report) serta alamat kugiran dan pengarang DIY/underground yang lain untuk tujuan komunikasi.

NEWSLETTER- surat berita, ianya mengambil tempat fanzine dalam penyampaian maklumat yang lebih ringkas dan cepat. Ianya diberi percuma, kebiasaannya ada sedikit laporan aktiviti atau penyampaian idea-idea atau makluman tertentu tetapi hanya sekadar sehelai atau dua-tiga helai. Dan, rata-rata ianya diberi percuma. Namun, ada juga pengarang yang menggunakan istilah newsletter tetapi kandungannya agak banyak dan turut dijual. Harga biasanya akan lebih murah dari fanzine yakni sekitar RM1.00.

FLYERS- ianya seperti iklan surat terbang, kebiasaannya dicetak dalam kuantiti yang banyak kerana ingin memaklumkan tentang sesuatu acara aktiviti atau acara seni, seperti undangan ke gig (konsert mini), ingin menjual demo/EP/LP kugiran DIY, menjual fanzine dan sebagainya, sebuah medium yang mengandungi informasi yang ringan.


Justeru, disaat saya membangunkan Yellow &Orange, ianya merupakan sebuah newsletter cuma tetapi memiliki ciri dan semangat fanzine. Oleh itu, ianya akan berfungsi silih berganti, ataupun ianya boleh sahaja disebut sebagai YELLOW & ORANGE sahaja, hatta ketika ia wujud dalam bentuk blog sekalipun.

Sekian, terima kasih


No comments: