Saya memiliki harapan
yang meninggi terhadap Parti Amanah Negara (P.A.N). Ini kerana setelah sekian
lama, saya mendapati terdapat lompang kosong dalam perjuangan siyasah di negara
Malaysia yang tercinta ini.
Apa yang dicatat ini
merupakan aspirasi dan impian saya, yang mungkin tidak penting dan tidak terlintas
dalam pemikiran barisan pemimpin (PAN) atau ya, memang ada, cuma tidak diterjemahkan
lagi. Dan, saya tidak boleh nafikan bahawa setiap kali saya meniti huruf PAN,
akan terdetik di fikiran istilah PAN-ISLAM (Perpaduan seluruh Umat Islam yang
amanah, islah/progresif dan ihsan/peduli, semestinya).
Sebagai seorang Melayu
berbangsa Malaysia, saya bersyukur atas nikmat negara merdeka (mim ra dhal
kaff) di atas bumi Malaysia (Mim lam-alif sim ya alif).
Sebagai seorang
Melayu seperti anak-anak Melayu yang lain, saya dididik dengan bibit-bibit
perjuangan. Salah satu tema yang amat masyhur dikalangan orang Melayu adalah
perjuangan Alif-Baa-Taa (Agama-Bangsa-Tanah Air). Konsep ini begitu masyhur
sehingga sering digunakan untuk menaikkan semangat perjuangan anak-anak bangsa,
baik dalam ruang siyasah (politik) mahupun iktisad (ekonomi).
Begitu juga, sudah
sekian maklum masyhur bahawa warna yang digunakan untuk mewajahkan konsep
didikan ini adalah Hijau-Kuning-Merah. Hijau merujuk Agama, Kuning merujuk
Bangsa dan Merah adalah Tanahair.
Simbol melalui warna-warna
ini ternyata sangat memberi kesan yang mendalam bagi anak-anak Melayu Malaysia.
Namun dari segi pemahaman dan tafsiran, ianya boleh jadi merujuk pola rakyat
Malaysia (atau susunlapis ahli dalam mantan harakah pilihan) kita iaitu,
Ulama-Profesional (bukan ulama’)-Umum (rakyat Malaysia) ataupun juga ulama,
muslim (sebangsa dan seagama) dan bukan-muslim (rakan-rakan bukan seagama -sebangsa
di tanah air negara Malaysia!).
Namun, ternyata
mantan harakah pilihan sebelum ini sudah terlalu asyik masyuk dengan kehijauannya
semata-mata. Sehingga merasakan bahawa perjuangan Alif Baa Taa itu cuma ada
alif atau hijau sahaja lantas mengabaikan yang kuning dan yang merah.
Walhal adalah menjadi
AMANAH para pemimpin harakah pilihan sebelum ini agar tidak terlupa tentang wasiat
dan nasihat mantan pemimpin-pemimpin terdahulu. Ataupun tidak terus melupakan
konsep tradisi ini bahawa setiap perjuangan tidak boleh tidak, harus berdiri
seiringan baik hijau, KUNING, MERAH dalam mencapai impian dan wawasan yang
ingin dicapai.
Namun, ianya telah
tertulis seperti yang kini dialami, demi memberi pengajaran dan peringatan
kepada kita umat Islam di tanah bertuah Malaysia ini.
Maka, kumpulan yang KUNING
dan yang MERAH ini telah memilih untuk berhijrah dan berjuang dalam wadah
mereka tersendiri demi memartabatkan kembali perjuangan Alif-Baa-Taa ini. Demi
untuk bersua kemakmuran, kesenangan dan keharmonian buat bumi Malaysia tercinta
ini.
Justeru maka
bercampurlah warna kuning dan warna merah lebur dalam cawan parti siyasah
baharu lantas menerbitkan warna JINGGA (OREN)- P.A.N.
Justeru
saudara-saudaraku, ayuhlah kita bersatu bangun dengan wadah baru ini, maju
memacu perjuangan dalam membela agama-bangsa-tanah air di Malaysia dengan wadah
Islam progresif nan inklusif dari kumpulan yang terabaikan oleh kelompok hijau
yang terlajak ayik masyuk bercinta dengan hijaunya. Kerana kita juga yang
berdiri di bawah arus jingga (kuning+merah) tetap berjuang di atas dasar cinta
tetapi cinta yang sedar diri, cinta yang terus membara demi menyelamatkan tanah
air tercinta, bumi bertuah Malaysia!
SELAMAT MENYAMBUT
HARI MALAYSIA
MERDEKA! MERDEKA!
MERDEKA!
M. Faiz Ahmad - Teratak Alif Ba Jim Dhal, Jitra.
*Penulisan ini pernah disiarkan di laman Wadah Baru
No comments:
Post a Comment