Tuesday, August 27, 2019

PERSATUAN BULAN SABIT HIJAU


Setiap insan mempunyai tabiat buruk (bad habit), termasuk orang yang menukil ini.

Saya masih ingat kali pertama saya didedahkan dengan permainan video, ianya amat mengasyikkan, saya pada mulanya tidak percaya saya boleh terpengaruh dan terleka dengan permainan video tersebut, tetapi, perlahan-lahan saya terpaksa menerima hakikat saya sudah tersangkut dan sedikit ketagihan bermain permainan video.

Kemudian, saya telah meninggalkan tabiat bermain game tersebut untuk seketika. Namun, ketika belajar di universiti, sekali lagi saya terjebak di dalam kancah perlekaan permainan video.

Kemudian lagi, saya telah berjaya meninggalkan habit itu selepas habis pengajian di kampus.

Namun, setelah berumur 30-an, saya terpaksa mengakui saya terjebak lagi. Dan, saat menulis hantaran blog ini saya sedang berselang seli menulis dan bermain game, kini di telefon pintar.

Aduh...

Friday, January 4, 2019

SELAMAT TAHUN BAHARU 2019

Syukur, kita bertemu dengan satu lagi lembaran tahun baharu, tahun 2019. Ini merupakan catatan pertama saya bagi tahun 2019. =) 

Masih sibuk dan terpinga-pinga dengan kerja... hahaha

Saya bermula kerja di tahun 2019 pada 4 haribulan Januari. Menyambut tahun baru sekadar di kamar hotel di Kepala Batas, Kedah. Tiada bunga api nampaknya dari jendela hotel, cuma ada road block menyesakkan tidak jauh sebelum masuk ke pagar hotel.

Malam sebelum itu, menginap di sebuah hotel berhampiran taman tasik Taiping. Taiping memang puas dapat makan yong tau fu. Dan, ada sebuah makam di Taiping yang saya berhajat untuk ziyarah namun tidak berkesempatan hari itu... yakni kubur Almarhum Dr Buhanuddin al Helmy, Yang Dipertua PAS ke-3 dan Ketua Umum P.A.S Pertama di Masjid Melayu, kalau tidak silap saya, InshaAllah semoga ada kesempatan di lain masa. Al Fatihah untuk ruh beliau.

Salam tahun baru, semoga tahun ini lebih bersua kemakmuran, kesenangan dan keharmonian.


Tuesday, December 25, 2018

PENJELASAN TENTANG NAMA PENA

Beginilah jika "angin" menulis datang. Akan terbit beberapa idea rentetan. Saya teringat pagi tadi tatkala menyemak paparan di telefon pintar terdapat satu folder berjudul JOE MAX. 

Saya tidak pasti sebelum ini, jika saya pernah perjelaskan atau tidak asal muasal nama samaran atau nama pena Joe Max tersebut. Nama tersebut awal mula saya guna bagi menjadi nama samaran bagi idea atau rencana yang saya kirimkan ke sebuah fanzine di Melaka tanpa Editornya mengetahui identiti sebenar saya... hahaha.. tapi tak lama selepas itu, mereka tahu juga akhirnya. 

Kemudian, nama itu lagi saya guna juga beberapa kali bagi tujuan nama pena di underground music scene Malaysia namun saya tidak berapa ingat secara tepat. Namun begitu, saya pun tak pasti bagaimana, nama tersebut turut melekat dengan nama blog ini. Walaupun ianya penuh dengan unsur barat tetapi saya pilih untuk gunapakai juga pasal, ianya adalah pernah menjadi salah satu sisi cermin kehidupan saya yang lalu.

JOE MAX merupakan kombinasi dua nama vokalis yang saya minati dahulu. JOE merujuk kepada JONATHAN DAVIS dari KORN dan MAX pula merujuk kepada MAX CAVALERA dari SOULFLY (tatkala itu, walaupun beliau memiliki beberapa band). Jadi, oleh kerana 2 band ini adalah "in" masa itu, jadi saya guna nama tersebut untuk menjadi nama pena yang paling trendy dan style... hahaha...

Jadi, akan datang jika saya ada brand fesyen saya merancang guna nama ini :- JMUG

JoeMaxUnderGround, amacam???

KINI SUDAH MENGHAMPIRI PENGHUJUNG TAHUN 2018

Ini merupakan post bagi blog ini bagi penghujung tahun 2018. Ianya sepatutnya menjadi tahun yang boleh dikenang kerana pada tahun ini genap sepuluh tahun blog ini dibangunkan. Tetapi, saya selaku penulis telah gagal mencoret wacana dan rencana yang sebaiknya bagi memenuhi tugas blog sebagai wadah pengaliran fikrah dan idea.

Tahun 2018 berlalu dengan pantas. Situasi politik di Malaysia telah memberikan suatu perubahan besar apabila kerajaan BN telah digantikan dengan blok yang baru iaitu Pakatan Harapan (PH).

Tiada apa sangat untuk diperkatakan lagi kerana terlalu awal untuk menilai kemampuan dan kebagusan sesuatu kerajaan tersebut bagi tempoh 6 bulan pertama. Kita hanya berusaha dan merancang.

Banyak jua yang berlaku sepanjang tahun ini. Umur saya sudah meningkat 34 tahun. Masih cuba untuk suka menulis dan cuma akhir-akhir ini, minat membaca seakan merosot. Sangat menghairankan...hehehe... walaupun sebelum ini, tidaklah setegar mana kegemaran membacanya.

Apaapa pun jika Tuan Puan terserempak dengan post ini secara tidak sengaja, selamat menyambut Tahun baru 2019 saya ucapkan. Semoga ada kesempatan kita berjumpa di post tahun 2019... dan seterusnya tahun 2020... mudah-mudahan jika ada umur yang panjang.

2018 berlalu dengan 2 post, maka boleh mengatasi 2014 dan 2016 yang hanya ada 1 post cukup syarat. Memang syok betul bila buat kerja syok sendiri ni... hehehe...

Pejabat milik Bos
Seremban
3:03 petang
kejap lagi nak balik PD dah... hujung-hujung tahun ini berat benor rasa nak koje nye.

Wednesday, January 10, 2018

Kini Sudah Tahun 2018. Nota


Di dalam hidup dan kehidupan.

Bila tiba waktu kematian pasti menjemput.

Akhir tahun lalu dan awal tahun kini, telah perginya dua insan :-

12 November 2017, Mak Long, Zakiah Uluwiah Binti Manap ; dan

08 Januari 2018, Mak Ngah, Mahsuri Binti Hassim

telah kembali ke pangkuan Ilahi.

Al-Fatihah.

Tuesday, December 12, 2017

Yang Tersirat Disebalik Nama Amanah: Parti Amanah Negara



Salaam Ramadhan. Tiada diduga jika penulisan ini diterbitkan, ini merupakan siri ketiga penulisan saya berkenaan idealisme saya tentang wadah pilihan masakini diri iaitu Parti Amanah Negara.
Ini bermakna saya memiliki kegigihan dalam menghasilkan artikel dalam menyampaikan buah fikiran saya. Senyum.

Tatkala sendiri, saya gemar menulis dalam menzahirkan makna. Sesuatu perkara menjadi makna. Sebagai contoh makna disebalik huruf perkataan Amanah.

Jangan dituduh pula saya sebagai pengamal ajaran teralih. Ianya cuma pemaknaan sebagai pesanan, sebagai mesej. Ini kerana dari pesanan menjadi ingatan, dari ingatan menjadi pemikiran, dari pemikiran menjadi falsafah dan prinsip, dari falsafah dan prinsip menjadi suatu perjuangan, dan dari perjuangan menjadi pemangkin perubahan, reformasi, revolusi, penggantian yang zalim dengan yang adil dan amanah. Begitulah pakat-pakat harapan kita semua bersama.

Jika sebelum ini, saya bercanda dengan makna disebalik warna jingga (oren) yang digunapakai oleh Parti Amanah Negara di dalam artikel di bawah ini, saya lampirkan kerana, laman sesawang Wadah Baru telah bertukar menjadi Akhbar Rakyat, dan artikel saya tidak (belum) dapat  dikesan lagi ;-

http://yelloworangefanzine.blogspot.my/2017/05/parti-amanah-negara-si-kuning-dan-merah.html

Dan, kemudiannya saya berseloka dengan makna disebalik logo yang digunapakai oleh Parti Amanah Negara di dalam artikel di bawah yang turut disiarkan di dalam laman Wadah Baru ;-

http://yelloworangefanzine.blogspot.my/2017/05/amanah-cahaya-dari-gunung.html

Oleh itu, bagi melengkapkan warna warni makna makni dan meraikan kejayaan pembentukan Akhbar Rakyat ini, saya selitkan sedikit senyum simpul saya tentang makna disebalik kata AMANAH.
Sebagai parti yang menjunjung Islam sebagai asas perjuangan, Amanah tidak dapat lari dari realiti tempatan dan tanah tumpah kelahirannya. Justeru, dalam menafsirkan makna AMANAH ini suka saya gunakan kaedah tulisan jawi. Kerana jawi itu ada kesinambungan dan keberhasilan pembelajaran dan pemahaman Islam di Tanah Melayu. Amanah dieja dalam jawi sebagai Alif Mim Alif Nun Ha (simpul). Tafsir tersiratnya pula boleh jadi begini :-

Alif itu adalah Islam – Alif Sin Lam-Alif Mim
Mim itu adalah Melayu – Mim Lam Ya Waw
Alif (kedua) itu Aman – Alif Mim Alif Nun
Nun itu Negara – Nun Ga Ra Alif
Ha (simpul) itu Hebat dari kata Haibah (Arab) digeruni, dikagumi – Ha Ya Ba Ta
Dalam ayat lengkap Islam dan Melayu Aman, Negara hebat. Agama dan Bangsa Aman, Tanah Air Hebat.

Sebagai Muslim saya menjunjung Islam sebagai agama yang Rahmatan Lil ‘Alamin. Dan, bangsa Melayu adalah tunggak penegak Islam di Malaysia. Dengan definisi yang lebih meluas dari kata erti kamus parti lawan. Melayu dalam konteks di sini, adalah setiap warga manusia yang menerima Islam sebagai agama dirinya, tidak kira keturunannya Arab, Cina, India, Parsi ataupun Turki. Malah, jika kita amati Perlembagaan Negara kita, ianya seakan senada dengan makna ini, namun pada hemat saya untuk keterangan lebih lanjut boleh hubungi pakar undang-undang atau sejarawan berdekatan.
Aman. Aman. Aman selain membawa makna kemakmuran, kesenangan dan keharmonian ianya juga adalah gelaran kepada negeri pertama yang menerima Islam di Tanah Melayu iaitu Kedah Darul Aman, menurut riwayat dalam tahun 1136 Masehi. Pasti ianya sangat signifikan.

Negara itu adalah tanah air kita yang wajib kita pertahankan, amankan dan makmurkan. Tidak lain tidak bukan Malaysia tercinta. Kita harus pertahankan dari dijajah, dicuri dan digadaikan oleh sesiapa sekalipun baik dari dalam atau luar.

Hebat, seperti disebut di atas, apabila semua lunas-lunas kebaikan dirapikan maka akan terhasilnya sebuah Negara yang akan dikagumi dan disanjung oleh seantero rantau dan buana.

Namun, setiap perubahan pasti memerlukan titik mula. Semoga titik mula perubahan itu berhasil pada PRU ke 14 ini. 14 itu sendiri bilangan istimewa, saya kira. Kerana mengikut salah satu periwayatan Nabi Adam AS diciptakan dari 14 jenis tanah. WaAllahu a’lam. Bendera kita memiliki bintang pecah 14. Dan 14 jalur dengan 7 darinya merah dan 7 lagi putih.

Bersediakan kita untuk perubahan dan penggantian. Marilah bersama-sama kita mencorakkan masa depan yang lebih bermakna bersama-sama di PRU14 nanti. Bersatu, Amanah, Demokratik, Adil, Reformasi. B.A.D.A.R kita, perjuangan kita, pertarungan kita dalam membela nasib agama, bangsa dan tanah air. Ayuh kita.

Semoga bersua kemakmuran, kesenangan dan keharmonian

Salam Perubahan dan Salam Penggantian

Penulisan ini pernah disiarkan di sini :

http://akhbarrakyat.blogspot.my/2017/06/yang-tersirat-disebalik-nama-amanah.html

Monday, May 29, 2017

AMANAH : CAHAYA DARI GUNUNG

Ianya terbit dari Kuala Kangsar- Bandar Di Raja, saat Pilihanraya Kecil berlangsung baru-baru ini. Beberapa orang sahabat dari harakah hizib Amanah sedang berkempen meraih undi di salah satu tempat mengundi. Sedang asyik merayu undi di dalam cekal kelelahan melaksana ibadah puasa, berlalu seorang Pak Tua.

Pak Tua, beliau yang berkemeja kelabu petak-petak, berkopiah putih, wajahnya bersih berkaca mata menghampiri sahabat lalu bertanya, ada lagi tak bendera Amanah?. Sahabat menjawab bahawa bendera sudah habis. Payung boleh tak pak cik?. Hah! Boleh juga, ujar Pak Tua lalu mengambil payung dari sahabat mengucap terima kasih, senyum dan berlalu pergi. Di samping Pak Tua itu, ada seorang anak kecil dalam umur 10 tahun bersama beliau, boleh jadi menemani Pak Tua berjalan dalam keriuhan pilihanraya tersebut. Dari sayup, kira-kira satu meter dari sahabat terdengar dialog di antara Pak Tua dengan cucunya. Tok, tok, kalau tadi parti bulan, yang ini apa pula, tok? tanya anak kecil itu. Dengan ringkas, Pak Tua menjawab, oh yang ini parti gunung, spontan. (Merujuk akan logo Parti Amanah Negara yang seakan-akan bentuk puncak gunung).

Sahabat saya dan seorang lagi teman seperjuangan yang turut mendengar perbualan tersebut, berpandangan sesama sendiri, gumam. Lalu terfikir, ingin menerimanya sebagai sesuatu yang sinis atau optimis?

Gunung. Suatu simbolisme yang sangat terkesan bagi perjalanan perjuangan dakwah dan siyasah harakah Islamiyyah di Tanah Melayu khususnya dan Malaysia umumnya. Jika ditimbang sejak zaman sebelum Merdeka, mereka yang menelusuri sejarah pergerakan Islam pasti tidak lekang dengan sinonim Hizbul Muslimin dengan Gunung Semanggol. Pada ketika penjajah British ingin mempropagandakan gerakan Islam dari Gunung Semanggol ini, mereka melabelkannya sebagai bahaya dari gunung.

Gunung jika dilihat dari misalan-misalan yang dizahirkan dalam sumber Islam sesungguhnya memperlihatkan peringatan-peringatan yang signifikan kepada manusia agar mengurus tadbir alam dan kemanusiaan dengan amanah dan adil.

Kita boleh lihat bagaimana Al-Quran memperingatkan bahawa gunung-ganang itu adalah pasak bumi.

Kita boleh perhatikan betapa Al-Quran menceritakan bahawa gunung sendiri tawaddhuk, takut dan khusyuk sehingga akan hancur lebur jika Al-Quran ini diturunkan kepadanya.

Kita boleh renungi bahawa Al-Quran menegaskan manusia-manusia agar jangan bersikap sombong walhal kesombongan mereka itu tidak mampu menggoncangkan gunung sekalipun.

Manakala, jika kita teliti Sirah Nabawi dan Kisah-kisah Para Nabi dan Rasul terdahulu (Qishashul Anbiya’) kita boleh dapati bahawa gunung juga merupakan tempat yang sangat hampir dan relevan dengan perjuangan para Nabi dan Rasul.

Baginda Nabi Nuh Najiyullah AS membina kapalnya di atas gunung dan berlabuh juga di atas gunung.

Sayyidina Musa Kalamullah AS bermunajat dan berbicara dengan Rabb-Nya di Gunung Thursina.

Nabiyullah Isa Ruhullah AS diriwayatkan bersama-sama dengan para Hawariyyun telah berdoa dan beribadat pada malam hari sebelum Baginda diangkat ke langit, di satu tempat  di kaki Gunung Zaitun di Baitul Muqaddis.

Junjungan Besar kita Baginda Nabi Muhammad Habibullah SAW juga tatkala berkhalwat bertahannuth, Baginda memilih Gua Hira’ yang berada di atas Gunung Nur (Jabal Nur). Malahan di saat Peristiwa Hijrah, Baginda dan Sahabat yang dikasihinya, Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA telah berlindung sebentar di dalam Gua Thur di Gunung Thur (Jabal Thur).

Maka dari siri rentetan ibarat dan isyarat yang boleh kita kutip di sini, bahawa perjuangan Islam sangat dekat jua dengan gunung. Walaupun, sesungguhnya iktibar dari peringatan Al-Quran dan perjuangan Para Nabi dan Rasul tersangatlah lebih besar makna dan kefahamannya, akan tetapi kami di Amanah mahu menumpang sedikit kebarakahan dari kisah gunung dan perjuangan Nubuwwah dan Risalah ini, ingin kami titipkan disemat pada dada perjuangan serta menyatakan bahawa kami juga berjalan di atas jalan perjuangan dan akhlak Nubuwwah dan Wilayah - Ulama’ warasatun Anbiya’. Marilah kita memperjuangkan perjuangan Islam yang suci ini bersama-sama. Salam perjuangan dari AMANAH : CAHAYA DARI GUNUNG, semoga NUR ISLAM akan terus bersinar sebagai RAHMATAN LIL ‘ALAMIN. Semoga kita bersua kemakmuran siyasah, kesenangan iqtisad dan keharmonian ijtimaie di hari-hari yang mendatang ini. InshaAllah! Allahu Akbar!

Salam Syawal,
Muhammad Fayz Ahmad Ibnu Abdullah

Bandar Darulaman, Kedah - hijau bendang, kuning padi, merah tanah berpisah tiada!

*Penulisan ini pernah disiarkan di laman Wadah Baru