Salaam Ramadhan. Tiada diduga jika penulisan ini
diterbitkan, ini merupakan siri ketiga penulisan saya berkenaan idealisme saya
tentang wadah pilihan masakini diri iaitu Parti Amanah Negara.
Ini bermakna saya memiliki kegigihan dalam menghasilkan
artikel dalam menyampaikan buah fikiran saya. Senyum.
Tatkala sendiri, saya
gemar menulis dalam menzahirkan makna. Sesuatu perkara menjadi makna. Sebagai
contoh makna disebalik huruf perkataan Amanah.
Jangan dituduh pula saya sebagai pengamal ajaran teralih.
Ianya cuma pemaknaan sebagai pesanan, sebagai mesej. Ini kerana dari
pesanan menjadi ingatan, dari ingatan menjadi pemikiran, dari pemikiran menjadi
falsafah dan prinsip, dari falsafah dan prinsip menjadi suatu perjuangan, dan
dari perjuangan menjadi pemangkin perubahan, reformasi, revolusi, penggantian
yang zalim dengan yang adil dan amanah. Begitulah pakat-pakat harapan kita
semua bersama.
Jika sebelum ini, saya bercanda dengan makna disebalik warna
jingga (oren) yang digunapakai oleh Parti Amanah Negara di dalam artikel di
bawah ini, saya lampirkan kerana, laman sesawang Wadah Baru telah bertukar
menjadi Akhbar Rakyat, dan artikel saya tidak (belum) dapat dikesan lagi ;-
http://yelloworangefanzine.blogspot.my/2017/05/parti-amanah-negara-si-kuning-dan-merah.html
Dan, kemudiannya saya berseloka dengan makna disebalik logo
yang digunapakai oleh Parti Amanah Negara di dalam artikel di bawah yang turut
disiarkan di dalam laman Wadah Baru ;-
http://yelloworangefanzine.blogspot.my/2017/05/amanah-cahaya-dari-gunung.html
Oleh itu, bagi melengkapkan warna warni makna makni dan
meraikan kejayaan pembentukan Akhbar Rakyat ini, saya selitkan sedikit senyum
simpul saya tentang makna disebalik kata AMANAH.
Sebagai parti yang menjunjung Islam sebagai asas perjuangan,
Amanah tidak dapat lari dari realiti tempatan dan tanah tumpah kelahirannya.
Justeru, dalam menafsirkan makna AMANAH ini suka saya gunakan kaedah tulisan
jawi. Kerana jawi itu ada kesinambungan dan keberhasilan pembelajaran dan
pemahaman Islam di Tanah Melayu. Amanah dieja dalam jawi sebagai Alif Mim Alif
Nun Ha (simpul). Tafsir tersiratnya pula boleh jadi begini :-
Alif itu adalah Islam – Alif Sin Lam-Alif Mim
Mim itu adalah Melayu – Mim Lam Ya Waw
Alif (kedua) itu Aman – Alif Mim Alif Nun
Nun itu Negara – Nun Ga Ra Alif
Ha (simpul) itu Hebat dari kata Haibah (Arab) digeruni,
dikagumi – Ha Ya Ba Ta
Dalam ayat lengkap Islam dan Melayu Aman, Negara hebat.
Agama dan Bangsa Aman, Tanah Air Hebat.
Sebagai Muslim saya menjunjung Islam sebagai agama yang
Rahmatan Lil ‘Alamin. Dan, bangsa Melayu adalah tunggak penegak Islam di
Malaysia. Dengan definisi yang lebih meluas dari kata erti kamus parti lawan.
Melayu dalam konteks di sini, adalah setiap warga manusia yang menerima Islam
sebagai agama dirinya, tidak kira keturunannya Arab, Cina, India, Parsi ataupun
Turki. Malah, jika kita amati Perlembagaan Negara kita, ianya seakan senada
dengan makna ini, namun pada hemat saya untuk keterangan lebih lanjut boleh
hubungi pakar undang-undang atau sejarawan berdekatan.
Aman. Aman. Aman selain membawa makna kemakmuran, kesenangan
dan keharmonian ianya juga adalah gelaran kepada negeri pertama yang menerima
Islam di Tanah Melayu iaitu Kedah Darul Aman, menurut riwayat dalam tahun 1136
Masehi. Pasti ianya sangat signifikan.
Negara itu adalah tanah air kita yang wajib kita
pertahankan, amankan dan makmurkan. Tidak lain tidak bukan Malaysia tercinta.
Kita harus pertahankan dari dijajah, dicuri dan digadaikan oleh sesiapa
sekalipun baik dari dalam atau luar.
Hebat, seperti disebut di atas, apabila semua lunas-lunas
kebaikan dirapikan maka akan terhasilnya sebuah Negara yang akan dikagumi dan
disanjung oleh seantero rantau dan buana.
Namun, setiap perubahan pasti memerlukan titik mula. Semoga
titik mula perubahan itu berhasil pada PRU ke 14 ini. 14 itu sendiri bilangan
istimewa, saya kira. Kerana mengikut salah satu periwayatan Nabi Adam AS
diciptakan dari 14 jenis tanah. WaAllahu a’lam. Bendera kita memiliki bintang
pecah 14. Dan 14 jalur dengan 7 darinya merah dan 7 lagi putih.
Bersediakan kita untuk perubahan dan penggantian. Marilah
bersama-sama kita mencorakkan masa depan yang lebih bermakna bersama-sama di
PRU14 nanti. Bersatu, Amanah, Demokratik, Adil, Reformasi. B.A.D.A.R kita,
perjuangan kita, pertarungan kita dalam membela nasib agama, bangsa dan tanah
air. Ayuh kita.
Semoga bersua kemakmuran, kesenangan dan keharmonian
Salam Perubahan dan Salam Penggantian
Penulisan ini pernah
disiarkan di sini :
http://akhbarrakyat.blogspot.my/2017/06/yang-tersirat-disebalik-nama-amanah.html