Tuesday, December 12, 2017

Yang Tersirat Disebalik Nama Amanah: Parti Amanah Negara



Salaam Ramadhan. Tiada diduga jika penulisan ini diterbitkan, ini merupakan siri ketiga penulisan saya berkenaan idealisme saya tentang wadah pilihan masakini diri iaitu Parti Amanah Negara.
Ini bermakna saya memiliki kegigihan dalam menghasilkan artikel dalam menyampaikan buah fikiran saya. Senyum.

Tatkala sendiri, saya gemar menulis dalam menzahirkan makna. Sesuatu perkara menjadi makna. Sebagai contoh makna disebalik huruf perkataan Amanah.

Jangan dituduh pula saya sebagai pengamal ajaran teralih. Ianya cuma pemaknaan sebagai pesanan, sebagai mesej. Ini kerana dari pesanan menjadi ingatan, dari ingatan menjadi pemikiran, dari pemikiran menjadi falsafah dan prinsip, dari falsafah dan prinsip menjadi suatu perjuangan, dan dari perjuangan menjadi pemangkin perubahan, reformasi, revolusi, penggantian yang zalim dengan yang adil dan amanah. Begitulah pakat-pakat harapan kita semua bersama.

Jika sebelum ini, saya bercanda dengan makna disebalik warna jingga (oren) yang digunapakai oleh Parti Amanah Negara di dalam artikel di bawah ini, saya lampirkan kerana, laman sesawang Wadah Baru telah bertukar menjadi Akhbar Rakyat, dan artikel saya tidak (belum) dapat  dikesan lagi ;-

http://yelloworangefanzine.blogspot.my/2017/05/parti-amanah-negara-si-kuning-dan-merah.html

Dan, kemudiannya saya berseloka dengan makna disebalik logo yang digunapakai oleh Parti Amanah Negara di dalam artikel di bawah yang turut disiarkan di dalam laman Wadah Baru ;-

http://yelloworangefanzine.blogspot.my/2017/05/amanah-cahaya-dari-gunung.html

Oleh itu, bagi melengkapkan warna warni makna makni dan meraikan kejayaan pembentukan Akhbar Rakyat ini, saya selitkan sedikit senyum simpul saya tentang makna disebalik kata AMANAH.
Sebagai parti yang menjunjung Islam sebagai asas perjuangan, Amanah tidak dapat lari dari realiti tempatan dan tanah tumpah kelahirannya. Justeru, dalam menafsirkan makna AMANAH ini suka saya gunakan kaedah tulisan jawi. Kerana jawi itu ada kesinambungan dan keberhasilan pembelajaran dan pemahaman Islam di Tanah Melayu. Amanah dieja dalam jawi sebagai Alif Mim Alif Nun Ha (simpul). Tafsir tersiratnya pula boleh jadi begini :-

Alif itu adalah Islam – Alif Sin Lam-Alif Mim
Mim itu adalah Melayu – Mim Lam Ya Waw
Alif (kedua) itu Aman – Alif Mim Alif Nun
Nun itu Negara – Nun Ga Ra Alif
Ha (simpul) itu Hebat dari kata Haibah (Arab) digeruni, dikagumi – Ha Ya Ba Ta
Dalam ayat lengkap Islam dan Melayu Aman, Negara hebat. Agama dan Bangsa Aman, Tanah Air Hebat.

Sebagai Muslim saya menjunjung Islam sebagai agama yang Rahmatan Lil ‘Alamin. Dan, bangsa Melayu adalah tunggak penegak Islam di Malaysia. Dengan definisi yang lebih meluas dari kata erti kamus parti lawan. Melayu dalam konteks di sini, adalah setiap warga manusia yang menerima Islam sebagai agama dirinya, tidak kira keturunannya Arab, Cina, India, Parsi ataupun Turki. Malah, jika kita amati Perlembagaan Negara kita, ianya seakan senada dengan makna ini, namun pada hemat saya untuk keterangan lebih lanjut boleh hubungi pakar undang-undang atau sejarawan berdekatan.
Aman. Aman. Aman selain membawa makna kemakmuran, kesenangan dan keharmonian ianya juga adalah gelaran kepada negeri pertama yang menerima Islam di Tanah Melayu iaitu Kedah Darul Aman, menurut riwayat dalam tahun 1136 Masehi. Pasti ianya sangat signifikan.

Negara itu adalah tanah air kita yang wajib kita pertahankan, amankan dan makmurkan. Tidak lain tidak bukan Malaysia tercinta. Kita harus pertahankan dari dijajah, dicuri dan digadaikan oleh sesiapa sekalipun baik dari dalam atau luar.

Hebat, seperti disebut di atas, apabila semua lunas-lunas kebaikan dirapikan maka akan terhasilnya sebuah Negara yang akan dikagumi dan disanjung oleh seantero rantau dan buana.

Namun, setiap perubahan pasti memerlukan titik mula. Semoga titik mula perubahan itu berhasil pada PRU ke 14 ini. 14 itu sendiri bilangan istimewa, saya kira. Kerana mengikut salah satu periwayatan Nabi Adam AS diciptakan dari 14 jenis tanah. WaAllahu a’lam. Bendera kita memiliki bintang pecah 14. Dan 14 jalur dengan 7 darinya merah dan 7 lagi putih.

Bersediakan kita untuk perubahan dan penggantian. Marilah bersama-sama kita mencorakkan masa depan yang lebih bermakna bersama-sama di PRU14 nanti. Bersatu, Amanah, Demokratik, Adil, Reformasi. B.A.D.A.R kita, perjuangan kita, pertarungan kita dalam membela nasib agama, bangsa dan tanah air. Ayuh kita.

Semoga bersua kemakmuran, kesenangan dan keharmonian

Salam Perubahan dan Salam Penggantian

Penulisan ini pernah disiarkan di sini :

http://akhbarrakyat.blogspot.my/2017/06/yang-tersirat-disebalik-nama-amanah.html

No comments: